KOTA BHARU: Pembinaan 91 menara telekomunikasi baharu di Kelantan yang dilaksanakan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sejak tahun 2020 bakal memberi manfaat kepada 1.8 juta penduduk di negeri tersebut untuk menikmati liputan jaringan telekomunikasi 4G.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Kelantan Abd Mubin Mohd Zain berkata setakat Disember tahun lepas, sebanyak 43 daripada 91 menara baharu tersebut telah siap dibina manakala bakinya dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Katanya, selain pembinaan menara baharu komunikasi sebanyak 1,377 stesen pemancar komunikasi sedia ada juga telah dan akan dinaik taraf kepada liputan 4G.

"Sejumlah 54,700 premis di seluruh negeri telah dan akan disediakan dengan akses gentian optik sehingga penghujung 2022.

"Angka ini cukup tinggi dan sangat baik bagi negeri Kelantan," katanya kepada Bernama dan RTM ketika melawat menara komunikasi di Kampung Chengal, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abd Mubin berkata sehingga Disember 2021 peratusan liputan 4G di Kelantan telah mencapai 95.18 peratus meliputi populasi di seluruh Kelantan.

"Ia menunjukkan perkembangan positif yang sasaran di peringkat nasional menjelang penghujung tahun ini adalah 96.9 peratus," katanya.

Beliau turut mengakui pihaknya berdepan pelbagai cabaran terutama membabitkan kawasan pedalaman untuk melaksanakan pembinaan menara baharu dalam usaha menyediakan hubungan digital yang baik kepada rakyat di negeri ini.

"Terbaru, MCMC telah meluluskan 35 lokasi pembinaan menara baharu di bawah projek JENDELA Fasa 1 membabitkan kawasan luar bandar dan juga 18 lokasi perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit yang melibatkan perkampungan Orang Asli sekali gus membuatkan pembinaannya agak mencabar terutamanya untuk memasuki ke kawasan berkenaan.

"Sebagai contoh, banjir baru-baru ini ia telah menyebabkan jambatan di sebuah perkampungan Orang Asli runtuh dan tidak dapat dilalui. Aktiviti pembinaan menara berkenaan tergendala, kami cuba berbincang dengan pihak berkaitan supaya menyegerakan pembinaan semula jambatan itu agar kami dapat mempercepatkan pembinaan di kawasan berkenaan," katanya.

Tambah beliau, antara cabaran lain yang dihadapi termasuk dari segi pentadbiran untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkaitan memandangkan setiap pembinaan infrastruktur menara membabitkan penggunaan tanah yang memerlukan kelulusan daripada pihak kerajaan negeri.

"Setiap infrastruktur pembinaan menara baharu ia akan melibatkan penggunaan tanah yang mana ia menjadi hak kerajaan negeri dan pihak pemohon perlu melalui beberapa proses yang melibatkan tambahan masa bagi mendapatkan kelulusan," katanya.

Ketika ditanya sama ada pihaknya berdepan dengan vandalisme mahupun kecurian peralatan seperti kabel, Abd Mubin berkata kebelakangan ini tiada laporan diterima membabitkan kejadian itu di menara komunikasi yang dibina kerana kebanyakan menara menggunakan gentian optik dan bukan tembaga.

"Kalau dulu gunakan tembaga mungkin sebab itu sering berlaku kecurian dan sebagainya, namun sekarang kebanyakan telah guna gentian optik sekali gus dapat mengurangkan kejadian yang tidak diingini termasuk kes kecurian kabel dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA